meRentas unTuk iKatan

20 Zulkaedah 1430 bersamaan 8 Oktober 2009

Jarun jam di tangan sedang menunjuk ke angka 1.30 petang tetapi saya masih di rumah, Kajang. Berjanji untuk bertemu dengan sebuah keluarga pada jam 2.30 petang di Klang.

Bagi saya jarak perjalanan dari Kajang ke Klang tidak mengambil masa yang lama jika menggunakan lebuhraya berdasarkan kelajuan kebiasaan apabila saya memandu kereta.

Pepatah Melayu ada menyebut:

‘Malang tidak berbau’

Oleh kerana bahaya di jalan raya mungkin melibatkan diri sendiri atau orang lain tidak dapat dihidu kedatangannya maka kita disaran untuk sentiasa memanjangkan harapan kepada Allah azzawajalla agar sentiasa memberi perlindungan dan jagaan kerana itulah sebaik-baiknya setelah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Allah subhanhu wa ta’ala berfirman:

والذي خلق الأزواج كلّها وجعل لكم مّن الفلك والأنعام ما تركبون(12) لتستوا على ظهوره ثمّ تذكروا نعمة ربّكم إذا استويتم عليه وتقولوا سبحان الذذى سخذر لنل هْذا وما كنّا له مقرنين(13) وإنّآ إلى ربّنا لمنقلبون

‘Dan Yang menciptakan semua yang berpasang-pasangan dan menjadikan untukmu kapal dan binatang ternak yang kamu tunggangi(12) Supaya kamu duduk di atas punggungnya kemudian kamu ingat nikmat Tuhanmu apabila kamu duduk di atasnya dan supaya kamu mengucapkan: “Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal sebelumnya tidak mampu menguasainya,(13) dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami(14) 

[Surah Az-Zukhruf: 12-14]

Dalam hadis Rasullah sallahua’laihiwasallam pula:

عن عبدالله بن سرجس رضى الله عنه قال: كان رسول الله صلذى الله عليه و سلّم إذا سافر يتعوّذ من وعثاء السّفر, وكآبة المنقلب, والحور بعد الكون, ودعوة المظلوم, وسوء المنظر فى الأهل والمال

 ‘Dari Abdullah bin Sarjis radhiaallahu a’nhu, katanya: “Rasullah sallahua’laihiwasallam itu apabila berpergian, baginda memohon perlindungan- kepada Allah- daripada kesukaran perjalanan, kesedihan keadaan waktu kembali, adanya kekurangan sesudah berlebihan, dari doa orang yang teraniaya dan buruknya pandangan dalam keluarga dan harta”‘

[Riwayat Muslim]

Jangkaan sepanjang perjalanan akan ditemani hujan sekali sekala meleset sama sekali. Perjalanan pula sungguh lancar tanpa perlu pening kepala akibat kesesakkan lalu lintas walaupun pada hari Ahad.

Yang memeningkan kepala adalah untuk menuju ke destinasi perlu melalui 5 tol lebuhraya dan bertemu 5 tol tersebut sekali lagi untuk kembali semula ke Kajang. Jumlah bayaran untuk pergi dan balik adalah RM8, sungguh membebankan!

Samada pihak pengurusan merasakan ianya satu keperluan untuk pengguna menanggungnya

atau

pihak pengurusan sengaja tidak mahu mengurangkan bebanan pengguna apabila dikaburi nilai keuntungan dari hasilnya

atau

pihak pengurusan merasa tergugat apabila melihat angka pendapatan kebiasaan yang diperolehi mengecil jika rintihan pengguna yang terpaksa menanggungnya diambil kira. 

Sabda Rasullah sallahua’laihiwasallam:

من أحبّ أن يزحزح عن النّار ويدخل الجنّة فلتدركه منيّته وهو يؤمن بالله واليوم الأخر ويأتي إلى النّاس ما يحبّ أن يؤتى إليه

‘Sesiapa yang suka(ingin) dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka hendaklah dia mati dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat dan(dalam keadaan) dia datang menyempurnakan hak manusia sebagaimana dia suka supaya manusia menunaikan haknya’

[Riwayat Muslim]

Di sebalik perkara yang memeningkan kepala itu, tiba-tiba hati mengajak berbual bicara sebagai penyeri sunyi di kala memandu keseorangan.

Cuba membayangkan keadaan di Padang Masyar yang pasti kunjung tiba. Kenderaan yang beratur umpama manusia sedang menanti menerima buku amalan untuk menuju samada neraka atau syurga. Perbezaan antara kaunter bagi bayaran tunai atau Touch N Go untuk kecepatan urusan pula umpama perbandingan kelebihan antara manusia yang beramal soleh sepanjang perbuatan dalam hidupnya dengan mereka yang senang mengamalkan agama dalam keadaan endah tidak endah atau selesa dengan biasa-biasa sahaja.

Sedar tidak sedar kenderaan telah meluru masuk ke kawasan Bandar Diraja Klang. Hanya sempat menatap Masjid Sultan Sulaiman dan sekolah pengajian terakhir iaitu Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS) secara sepintas lalu yang menyimpan seribu satu memoir suka dan duka.

Akhirnya sampai ke destinasi yang hendak dituju. Sebuah kediaman yang pemiliknya saya memanggil dengan panggilan umi dan pak selepas setahun meninggalkan KISAS.

Umi merupakan salah seorang guru matapelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) dan dalam masa yang sama berperanan sebagai guru kelas. Alhamdulillah, kesemua pelajar lelaki kelas STAM kami mendapat pangkat MUMTAZ dan masih mengekalkan prestasi sekolah terbaik STAM Malaysia. Di waktu itu, hanya KISAS merupakan satu-satunya Sekolah Berasrama Penuh(SBP) mengadakan kelas untuk pengajian STAM.

Uniknya guru-guru di KISAS ini kami merasakan kewujudan perasaan, kesungguhan, perkongsian dan ketelitian lebih daripada peranan sebagai guru. Terasa bayangan sentuhan ibu dan bapa kepada anak-anak dari guru-guru kami ini.

Mereka lebih merasai apa yang dikatakan dalam peribahasa Melayu iaitu:

“Ditelan mati emak, diluah mati bapa”

Rajuk mereka membuat hati disapa ingin memujuk.

Suka mereka membuat hati damai dengan sentuhan keberkatan.

Kata umi, kalau dulu para guru sengaja pulang lambat selewat 6 petang hingga kadang-kadang datang semula di sebelah malam untuk bersama pelajar dalam memberi kefahaman dalam pelajaran atau berkongsi permasalahan dalam persatuan tetapi kini keadaan tersebut semakin merosot kerana masa tersebut terpaksa dipenuhi dengan hal kerja yang dipertanggungjawabkan sejak KISAS mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan.

Pada hemat saya, sedikit sebanyak kesan daripada pengiktirafan demi pengiktirafan itu jika tidak diseimbangkan atau gagal mengikut rentaknya akan menjadi bebanan buat warga bumi Wakafan.

Ketika perjalanan pulang sengaja melewati KISAS dan mengerling ke arah satu bangunan yang menempatkan perpustakaan dan pusat sumber yang ketika itu saya diberi amanah sebagai Pengerusi Perpustakaan Kolej Islam Sultan Alam Shah atau PERKISAS.

Masjid Sultan Sulaiman pula menyimpan khazanah kenangan suka duka dan antara tempat pilihan mesyuarat para Exco BADAR KISAS yang ketika itu saya diberi tanggungjawab sebagai Exco Ceramah atau nama singkatannya Exco BICARA.

Sungguh! Kenangan yang sangat membuahkan kematangan dalam diri.

Segala jerit payah para guru ku rakamkan di dalam doa sentiasa: 

اللهمّ اغفرلنا ذنوبنا ولأبائنا ولأمّهاتنا ولأجدادنا ولجدّاتنا ولأقاربنا ولأساتذنا ولجميع المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات

“Ya Allah! Ampunilah bagi kami segala dosa-dosa kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, datuk nenek kami, kaum kerabat kami, guru-guru kami dan sekelian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang masih hidup di kalangan mereka mahupun yang sudah pergi”

 

Ahmad Azalee- Kajang, Selangor.

 

~ oleh nurislami di November 13, 2009.

3 Respons to “meRentas unTuk iKatan”

  1. Salam,
    Guru umpama sebatang lilin yang sanggup membakar dirinya demi menerangi alam…

  2. Salam ziarah. Antum nak buku percuma dari PTS? Jadi affiliates mereka. Sangat mudah. Ikut je arahan mereka. Lepas dah letak kod dlm blog iklankan blog antum kepada kwn2 -> http://www.edaurah.blogspot.com

  3. salam buat [an-nour]:
    maka anak didik pula usah membiarkan usaha mereka dipandang sepi..

Tinggalkan komen