tiDak wuJud persiMpangan ketiGa

Kadangkala mencengkam dada menahan sebak.

Kadangkala terbungkam mata terkesima.

Berita demi berita yang berlaku di Malaysia setiap hari seolah-olah manusia sudah tidak bertuhan. Turutan nafsu dan akal menjadi taruhan penentu masa depan.

Akhlak-akhlak para pemuda pemudi sudah tidak ketahuan.

Tanyalah diri sendiri sampai bilakah mahu terus tertipu dengan kabus fatamorgana dunia yang tidak pernah kunjung sepi.

Berhenti.

Berhentilah sentiasa menyalahkan manusia dan keadaan sekeliling menjadi punca kerosakkan diri sendiri.

Belajar.

Belajarlah untuk berani katakan tidak kepada perkara yang membawa kerosakan dan pada diri sendiri.

Cukup.

Cukuplah dengan kesedihan jiwa dan kekecewaan hidup yang diterjemahkan dengan perbuatan yang tidak membawa diri kepada Allah Ta’ala.

Jika kita amati akan kedengaran permintaan bisikan hati berbicara merintih meminta jasad kembali kepada Allah Ta’ala di saat terlibat dengan dosa.

Jika kita sedari akan terasa lonjakan jasad daripada kekuatan sekelumit iman yang masih wujud dalam jiwa sebagai tanda protes supaya meninggalkan maksiat.

Kisah Ashabul Kahfi bukan semata-mata sebuah cerita untuk direkodkan dalam Al-Quran. Ianya adalah keterangan metode dan syarat untuk menjadi muslim yang baik hingga mencapai kedudukan mukmin.

Kaedah untuk berubah adalah berdasarkan firman Allah subhanahu wa ta’ala:

نحن نقصّ عليك نبأهم بالحق إنهم فتية ءامنوا بربّهم وزدنهم هدى

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.

[Surah Al-Kahfi: 13]

Dinyatakan dengan jelas bahawa pemuda Ashabul Kahfi mengambil pendekatan mencetuskan kehendak diri untuk meninggalkan perkara yang akan mendorong mereka kepada kesalahan dari sudut akidah dan syarak. Lalu Allah subhanahu wa ta’ala mengurniakan petunjuk kepada mereka.

Ini selari dengan firman Allah Ta’ala:

واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور

Dan bersabarlah terhadap yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk dalam hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

[Surah Al-Luqman: 17]

Sudah pasti dalam melakukan kebaikan pasti ada cabaran. Kerana itu firman Allah Ta’ala di atas memujuk diri yang ingin berubah supaya kesabaran itulah akan meningkatkan imunisasi iman daripada serangan-serangan yang mengancam iman dan takwa.

Janji Allah azza wa jalla kepada mereka yang bersabar dengan segala-segala rintangan sepanjang melakukan kebaikan akan dikuatkan iman sehingga mampu menyatakan seperti para pemuda Ashabul Khfi tentang keimanan mereka kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Firman Allah Ta’ala ini:

وربطنا على قلوبهم إذ قاموا فقالوا ربّنا ربّالسماوات والأرض لن نّدعوا من دونه إلئها

Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata: ” Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia.

[Surah Al-Luqman: 14]

Di dunia ini hanya terdapat dua persimpangan. Tiada persimpangan ketiga iaitu persimpangan buat mereka yang memilih menjadi atas pagar.

Sejarah dunia tidak pernah mengenali individu-individu yang menjadi atas pagar sebagai sandaran hidup. Hanya tercatat dalam limpatan sejarah sama ada individu itu baik atau tidak.

Begitu juga di alam akhirat. Hanya ada syurga dan neraka. Tiada tempat hatta untuk merempat buat mereka yang hidupnya di dunia sekadar atas pagar.

Beruntunglah seorang muslim memilih jalan yang sering berusaha menjadi mukmin. Mudah-mudahan ingatan diri dalam lembaran sejarah dengan kebaikan menjadi ikutan dan panduan semasa hidup menjadi bekalan amalan soleh berantai hingga hari kiamat.

~

Monolog 1: Sepanjang bulan Mei lalu merupakan bulan peperiksaan. Kertas peperiksaan terakhir iaitu Sistem Ekonomi Islam sungguh mencabar kefahaman. Walhal masa yang diberi untuk menjawab selama 12jam dengan pelbagai instrumen untuk menjawab masih menyesakkan dada. Satu pengalaman yang cukup menarik!

Monolog 2: Alhamdulillah, kini bekerja sebagai Research Asistant (RA) untuk Prof. Dato’ Dr. Hailani Muji Tahir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau merupakan pensyarah kami bagi subjek Fiqh Muamalat semesta lepas.

Monolog 3: Setelah berbulan lamanya, maka kitab-kitab yang saya beli ketika belajar di Universiti Al-Azhar dahulu semuanya sudah dikeluarkan dari dalam kotak-kotak.

Ini adalah 2/3 kitab-kitab yang saya miliki. Masih ada 1/3 di rak-rak yang lain. Kegunaan sendiri serta pelaburan buat generasi anak-anak di masa hadapan, insyaAllah.

Terima kasih buat ayahanda dan bonda kerana membeli rak buku khas buat kitab-kitab anakanda.

~

Ahmad Azalee- Kajang, Selangor.

__________________________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di nurislami.wordpress.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat nurislami.wordpress.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin nurislami.wordpress.com terlebih dahulu.

~ oleh nurislami di Mei 30, 2011.

6 Respons to “tiDak wuJud persiMpangan ketiGa”

  1. Ya ALLAH, peliharalah kami dan keturunan kami, moga kami sentiasa dalam lindunganMU Ya Rabb,amin..

    Salam Mujahadah Ammu

  2. Salam…
    Ada benar juga kata-kata orang tua-tua; buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali. Tidak dinafikan juga, sukar untuk menempuh dunia yang tiada sempadan dalam meladeni jalan-jalan dakwah. Mohon dipermudahkan segala jalan dalam berdakwah demi meneruskan rantai-rantai perjuangan dan moga-moga diberikan kesabaran dalam mengharungi segalanya.

    Salam juang tanpa henti…

  3. salam alaik..salam ziarah..aiwah, byk sungguh kitab..
    masyaAllah.. mini library dlm rumah 😉

    wah… dh jd RA.. hehhee..makin bz dgn research ya ust..
    bgitulah alam kampus.. kuliah..exm…cuti.. itulah putaran kmpus.

    slmt berjuang utk hari-hari mndtg… moge terus dmudhkn..
    doa2kn utk kak ss juge…moge dbrikan kekuatn..kesbrn…;)

    barakallahu..

  4. Salam buat [NabihahAfifah]:
    -Rabbijalni muqimassolah wa min zurriyyati..Ameen ya Rabb..

    Salam buat [an-nour]:
    -Dalam ayat surah Luqman di atas Allah memujuk diri yang sedang berubah ke arah kebaikan dan yang sentiasa melakukan kebaikan supaya bersabar dengan semua bentuk kesusahan, cercaan dan segala macam perkara yang menggugat iman sepanjang melakukan ketaan..

    Salam buat [simple-shida]:
    -Alhamdulillah, pelaburan tuk generasi anak-anak..
    -Macam tulah kak..sikit-sikit sibuk kalau kena masanya 🙂
    -InsyaAllah, sama-sama dipancari kekuatan istiqomah sentiasa hendaknya..InsyaAllah, khairan buat akak..
    -Barakallahu fiki..

  5. Alhamdulillah…

  6. Assalamualaikum ustaz..asif menganggu..sudah berkali-kali ana membuka blog ustaz, tapi masih sepi dengan pengisian terkini..hampir 7bulan ia terbiar sepi tanpa sesuatu untuk ‘disuntik’ kepada masyarakat diluar sana..sayang blog sebaik ini sepi tanpa ‘ubat’ terkini yang mujarab untuk membantu masyarakat yang ‘sakit’ diluar sana..seorang da’ie yang ingin melebarkan dakwahnya melalui mata pena akan sentiasa mencari masa untuk tarian penanya kerana dia yakin mata pena yang tajam mampu menjadi senjata yang ampuh untuk menentang musuh-musuh agama sekaligus meyakini bahawa tintanya mampu menjadi penawar yang turut sama membantu mengubati ‘penyakit’ masyarakat yang sedang parah..” waktu ibarat pedang, andai kita tidak memotongnya, ia pasti akan memotong kita..”..teruskan menulis walau seringkas mana pun kerana setiap kalam ustaz pasti dirindui oleh insan-insan yang lunak hatinya untuk mencari kebenaran berpandukan iman dan hidayah dari Allah ta’ala..kami semua menanti pengisian terkini dari ustaz..jadikan ilmu yang dikutip sebagai penyelidik sebagai bahan penulisan ustaz sebagaimana kita lakukannya semasa di unit R & D Pendidikan PMRAM 06-08 dulu..mungkin caranya berbeza, tapi ia pasti ada persamaan yang boleh kita dapati..all the best ustaz..BARAKALLAHU FIK..

Tinggalkan komen