halaWatul iMan

 

Tergesa-gesa betul saya petang 2 hari lepas. Dari memasak untuk ditinggalkan hinggalah kepada bersegera untuk bersiap ke suatu aktiviti yang sudah lama sangat kami tidak lakukan iaitu gathering gabungan batch kami iaitu pengajian Islam dan pelajar perubatan, Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS) yang menuntut di Mesir.

Yang hadir tidak ramai pun, hanya enam orang sahaja. Sekarang ini musim summer break, jadi ramai ambil kesempatan pulang ke Malaysia atau mengembara ke negara lain. Yang ada hanya:

Saya, Nazrul, Hadi, Abd Rahman- Universiti Al-Azhar,

Hamdan dan Haikal- pelajar perubatan Cairo University.

Masih tidak lengkap lagi istilah 5 sekawan dengan ketiadaan Syauqi yang pulang ke Malaysia baru-baru ni.

Aktiviti dimulakan dengan berpuasa sunat di siang hari. Kemudian kami bertolak dari Haiyyu A’syir dalam pukul 6.30 petang menaiki teksi terus menuju ke rumah Haikal. Sebaik sampai ke Qasrul A’ini, kami singgah sebentar kedai a’sir(kedai jus buah-buahan yang sungguh peel fresh) untuk membeli air mangga 2 liter setengah dan sekilo buah tembikai susu sebagai buah tangan.

Dalam sebuah riwayat, Rasullah sallahua’laihiwasallam bersabda:

تهادوا, تحاّبوا 

‘Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kamu akan berkasih sayang’

Mesir ini kalau hendak tahu, harga buah-buahan memang tersangat murah. Boleh dikatakan syurga buah-buahan di sini.

Azan sedang berkumandang ketika perjalanan sudah hampir ke destinasi. Sejurus sampai kami terus dihidangkan hidangan buah-buahan untuk berbuka dan kemudian terus solat maghrib berjemaah. Solat berjemaah amat seronok sekali kerana menjadi jambatan pengerat hubungan sesama manusia. Berjabat tangan dengan senyuman yang terbentuk di bibir yang baru selesai melafazkan kalam-kalam Allah subhanahu wata’la merupakan suatu senyuman yang paling cantik.

Aktiviti utama malam ni adalah barbecue serta menyulusuri sungai Nil dengan menaiki kapal. Rupa-rupanya, tiada seorang pun dari kami yang tahu bagaimana nak menghidupkan api arang. Berbagai-bagai cara diusahakan akhirnya berjaya juga setelah 1jam 45minit berlalu. Lama betul!

Aktiviti memanggang diteruskan sambil empunya diri masing-masing bercerita. Sudah lama sangat tidak berbual. Pelbagai topik dari perihal diri hinggalah kepada masyarakat, politik dan ekonomi. Setelah selesai semuanya terus kepada acara makan. Berselera sungguh kami akan resepi ayam dan daging yang disediakan Haikal. Pandai juga hasil dari tangan seorang lelaki. Sangat sedap!

Jam sudah menunjukkan 12 malam. Setelah selesai kemas semuanya, terus kepada solat I’syak berjemaah yang menjadi agenda penutup tirai pada malam tersebut. Aktiviti menaiki kapal di Sungai Nil terpaksa ditangguh kerana sudah lewat malam. Untuk solat subuh di sini sangat awal iaitu pada jam 4.27pagi.

Allah Ta’ala berfirman:

إنما الؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم

‘Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu’

[Surah Al-Hujurat: 10]

Sering kita mendengar ayat di atas dilafazkan. Adakah kerana selalu kita mendengar ayat tersebut membuatkan hati itu tuli untuk memahami apa yang ingin dibawakan dari ayat tersebut bahawa manusia perlu kepada satu sama lain?

Salah satu daripada halawatul iman(kemanisan iman) adalah bersaudara kerana Allah Taa’la. Mencintai sahabat kerana Allah Ta’ala membuatkan segala kekurangan yang dimiliki olehnya  menjadikan kita menerima serta bertindak sebagai penampung kepada kekurangan tersebut kerana yang sempurna segala-galanya hanya Allah Ta’ala.

Mulakanlah persaudaraan sesama manusia dengan hanya ucapan salam yang diserikan dengan senyuman yang diukir. Kalam hukama’ ada menyebut:

البشاشة حبالة المودة

“Senyuman boleh menyuburkan ikatan kasih sayang”

Ku serikan perjumpaan kita pada malam tersebut dengan sebuah doa untuk sahabat-sahabat yang sudah bertahun-tahun umurnya kita bentuk jalinan persahabatan. Ku amat cintai kalian kerana Allah subhanahu wata’ala:

اللهم إنك تعلم أن هذه القلوب قد اجتمعت على محبتك والتقت على طاعتك وتوحدت على دعوتك وتعاهدت على نصرة شريعتك فوثق اللهمّ رابطاتها وادم ودّها واهدها سبلها واملأها بنورك الذي لا يخبوا واشرح صدورها بفيض الإيمان بك وجميل التوكّل عليك و أحيها بمعرفتك وأمتها على الشادة فى سبيلك إنك نعم المولى ونعم النّصير

“Ya Allah! Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi(perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwahmu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyolong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan hati-hati ini akan jalanNya(yang sebenar). Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman serta keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentangMu. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada’ dalam perjuangan agamaMu”

 

Ahmad Azalee- Kaherah, Mesir.

 

~ oleh nurislami di Ogos 5, 2009.

Satu Respons to “halaWatul iMan”

  1. nice!!truskn usaha..blja kat al-azhar ek??cm nme sy la..hahaha

Tinggalkan komen